Isnin, 11 Oktober 2010

MENGAPA USTAZ HARUN TAIB TAK DAPAT TERIMA ANWAR?











Di dalam Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Kali Kelima Sesi 1999-2000 pada 02 Jamadil Akhir 1420 bersamaan 12 September 1999, pada butiran 4.7. ada dicatitkan: Mesyuarat mengambil keputusan (kecuali Ustaz Harun Taib dan Ustaz Hassan Shukri) bersetuju Sdr. Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia kiranya Parti Alternatif diberi mandat untuk memerintah Malaysia. Penerimaan Anwar ini sebagai strategi 'selling point' pilihan raya.

Jika di dalam keadaan sekarang di mana semakin banyak keraguan mula dilihat melingkari peribadi dan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim penentangan pemimpin tinggi PAS ini timbul maka kami tidak akan merasa hairan dengannya.

Persoalan besar di sini adalah mengapa di kala semua golongan rakyat sedang membara dengan gelombang reformasi bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada waktu itu pun masih ada pemimpin tinggi PAS yang tidak dapat menerima beliau?

Perlu diingat, pada waktu itu Ustaz Hassan Shukri adalah Naib Presiden PAS manakala Ustaz Harun Taib pula adalah Ketua Dewan Ulama PAS (kini pun Ustaz Harun Taib masih lagi merupakan Ketua Dewan Ulama PAS selain Pesuruhjaya PAS Terengganu).

Apakah agaknya perkara besar yang Ustaz Hassan Shukri dan Ustaz Harun Taib tahu tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mungkin orang lain tidak tahu menyebabkan mereka tidak dapat menerima beliau sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia?

Walaupun persoalan besar ini tidak dapat ditanyakan kepada Ustaz Hassan Shukri yang telah kembali ke rahmatullah tidak berapa lama dulu, ia masih boleh ditanyakan kepada Ustaz Harun Taib sendiri (kini Datuk) yang masih sihat wal'afiat.

Walau bagaimanapun, setakat ini Datuk Zaid Ibrahim sendiri kelihatan masih menerima dan tidak pernah mempersoalkan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat dapat merebut Putrajaya.

Tetapi jika Datuk Seri Anwar Ibrahim masih terus menganiayai Datuk Zaid Ibrahim dengan sikap dan tindakan tidak adilnya sekarang maka adalah tidak mustahil jika Datuk Zaid Ibrahim juga akan menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ini.