Sabtu, 9 Oktober 2010

KALAU ZAID BERDOSA MAKA MURSYIDUL AM PAS, PRESIDEN PAS DAN NAIB PRESIDEN PAS JUGA TURUT BERDOSA SAMA!

KALAU ZAID BERDOSA KERANA MEMBERI WAWANCARA EKSKLUSIF KEPADA MINGGUAN MALAYSIA MAKA MURSYIDUL AM PAS, PRESIDEN PAS DAN NAIB PRESIDEN PAS JUGA TURUT BERDOSA SAMA KERANA MEMBERI WAWANCARA EKSKLUSIF KEPADA AKHBAR SAMA

Kami tidak faham mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifuddin Nasution Ismail teramat marah apabila Datuk Zaid Ibrahim memberi wawancara eksklusif yang membicarakan tentang persoalan PKR kepada Mingguan Malaysia pada 26 September 2010.

Jika Datuk Zaid Ibrahim dikira berdosa dan wajar dihentam kerana mendedahkan persoalan parti kepada akhbar musuh, maka ramai pemimpin tertinggi PAS juga boleh dikira berdosa dan wajar dihentam sama kerana mendedahkan persoalan parti (PAS) kepada akhbar sama.

Di antara pemimpin tertinggi PAS yang pernah memberi wawancara eksklusif kepada Mingguan Malaysia adalah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Di antara lainnya, wawancara eksklusif tiga pemimpin tertinggi PAS ini pernah tersiar di dalam Mingguan Malaysia pada 27 Mei 2007 (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Salahuddin Ayub), 12 Jun 2005 (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan 11 Jun 2006 (Salahuddin Ayub).

Selain daripada memberi wawancara-wawancara eksklusif, para pemimpin PAS juga melayan baik wartawan-wartawan Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia yang datang membuat liputan ke atas majlis-majlis mereka, termasuk muktamar-muktamar PAS juga.

Para pemimpin PAS yang menjawat jawatan di dalam Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Negeri Kedah juga melayan baik wartawan-wartawan Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia yang datang membuat liputan ke atas majlis-majlis mereka.

Dasar memboikot Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia ini hanya diamalkan oleh PAS pada awal-awal tahun 1980-an tetapi apabila Allahyarham Datuk Fadzil Nor mengambil-alih jawatan Presiden PAS pada 1989 beliau mengamalkan sikap terbuka dengan mereka.

Allahyarham Datuk Fadzil Nor selaku Presiden PAS sendiri sering memberi wawancara-wawancara eksklusif kepada Mingguan Malaysia dan ini diteruskan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, termasuk juga oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifuddin Nasution Ismail berkeras mahu memboikot Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia maka nyatalah mereka mempunyai pemikiran yang amat tertutup berbanding dengan para pemimpin tertinggi PAS.

Jika ini terus berlaku maka memang lebih layaklah bagi PAS untuk mengetuai Pakatan Rakyat berbanding dengan PKR kerana para pemimpin tertinggi PKR dengan minda mereka yang amat jumud itu ternyata hanya akan membawa rakyat negara ini ke belakang.

Kami merasa hairan apakah yang ditakuti sangat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifuddin Nasution Ismail bila Datuk Zaid Ibrahim bercakap kepada media. Pemimpin besar sepatutnya perlu berjiwa besar, bukannya takut kepada bayang-bayang sendiri.

WAWANCARA EKSKLUSIF DATUK SERI ABDUL HADI AWANG KEPADA MINGGUAN MALAYSIA (12 JUN 2005)

Tidak semestinya dengan DAP - ``Pas masih boleh bekerjasama dengan parti lain dan NGO''


Mukadimah

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat `keseorangan' apabila barisan kepimpinan baru parti itu yang dipilih dalam muktamar tahunan ke-51 baru-baru ini terdiri daripada golongan ulama muda dan golongan profesional.
Malah ada yang merasakan sikap Hadi yang dilihat agak radikal dan keras dalam tindakannya tidak bersesuaian dengan barisan baru yang dipilih oleh para perwakilan.
Bagaimanapun dalam pertemuan dengan wartawan MOHD. KAMIL YUSUF, ZULKIFLEE BAKAR dan SAIFULIZAM MOHAMAD, bekas Menteri Besar Terengganu itu menafikan tafsiran seumpama itu.
``Mereka yang membuat tafsiran itu siapa?'' tanyanya semula ketika dibangkitkan persoalan itu.
Abdul Hadi kemudian menegaskan bahawa apa yang penting ialah penerimaan ahli-ahli Pas yang berhak untuk mencorakkan kepimpinan parti itu.
Dalam wawancara hampir sejam di kediamannya di Kampung Rusila, Marang, Terengganu itu, Abdul Hadi mengupas beberapa isu yang membayangkan hala tuju dan pendekatan politik Pas selepas ini.
Beliau misalnya membincangkan strategi yang akan dilakukan oleh Pas dalam menarik sokongan bukan Melayu jika DAP tidak mahu bekerjasama dengannya.
``Masih ada parti-parti lain dan pertubuhan bukan kerajaan,'' katanya.
Beliau menjelaskan dengan panjang lebar konsep kerjasama itu dan usaha Pas untuk menarik sokongan bukan Islam dalam mencapai impian parti itu memerintah Malaysia.
Abdul Hadi juga menjelaskan hubungannya dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga menjelaskan kedudukan Majlis Syura Ulama yang dianggap paling berkuasa berbanding barisan kepimpinan politik dalam Pas.

MINGGUAN: Berdasarkan kepada keputusan pemilihan baru-baru ini apakah mesej yang hendak disampaikan oleh ahli-ahli Pas?

ABDUL HADI: Mesejnya jelas melalui ucapan dasar saya pada muktamar yang bertajuk Paksi Kebangkitan Perjuangan. Paksi yang saya maksudkan ialah meneguhkan lagi prinsip perjuangan kita di samping mengatur strategi dan langkah menghadapi keadaan semasa dan masa depan bagi memenuhi tanggungjawab parti memimpin umat ke arah yang kita rancangkan.
Barisan yang dipilih lebih bersifat mengekalkan kepimpinan lama yang perlu dikekalkan serta memberi ruang kepada pemimpin pelapis untuk kelangsungan perjuangan. Proses ini berlaku dengan baik dan diterima oleh ahli-ahli Pas. Ini dapat dilihat melalui wajah mereka ketika saya menyampaikan ucapan penggulungan.

MINGGUAN: Kepimpinan yang terpilih tidak terlepas daripada persoalan mengenai ulama dan bukan ulama. Bagi Pas sendiri apakah kayu pengukur untuk meletakkan seseorang itu bertaraf ulama?

ABDUL HADI: Kita perlu melihat sejarah penubuhan Pas yang melibatkan kalangan ulama iaitu mereka yang belajar dalam pengajian Islam serta kalangan yang belajar dalam bidang profesional. Mereka bersatu menubuhkan Pas dan kita melihat bagaimana kepimpinan itu datang daripada kalangan ini bermula dengan Allahyarham Mohamad Fuad, Dr. Burhanuddin, Dr. Mohamad Abas dan kepimpinan seterusnya.
Oleh itu pemecahan antara ulama dan profesional tidak wujud dalam Pas. Kita berpadu dan sama-sama berjuang untuk mendaulatkan Islam serta membahagi-bahagikan tugas. Selain itu, proses perkaderan dalam Pas ini adalah untuk mematangkan ulama supaya mereka mengetahui masalah semasa dan mengulamakan profesional supaya mereka mengetahui masalah-masalah hukum dalam Islam.

MINGGUAN: Kalau itu tafsiran Datuk Seri, kenapakah wujud istilah kepimpinan bersama ulama?

ABDUL HADI: Kepimpinan ulama diwujudkan atas dasar perlembagaan Pas yang berpandu kepada al-Quran, hadis, ijmak ulama dan kias. Kita mewujudkan Majlis Syura Ulama untuk memelihara parti mengikut landasan.
Mereka yang menganggotai majlis ini bukan sahaja berkelulusan tetapi mesti juga ada kepakaran dalam hukum Islam, menguasai bahasa Arab, boleh merujuk kitab-kitab muktabar, memahami al-Quran serta pada masa yang sama mereka itu orang yang dilihat berjaya dalam ujian sejak beberapa tahun berjuang dengan kita.

MINGGUAN: Kefahaman Pas mengenai soal ini agak mengelirukan kerana kepada orang Melayu ulama adalah pakar dalam bidang agama tetapi dalam saf kepimpinan baru ini Mohamad Sabu juga dianggap ulama?

ABDUL HADI: Nabi Muhammad s.a.w. tidak berjuang untuk bangsa Arab sahaja; baginda rasul untuk seluruh manusia. Begitu juga Pas. Kita tidak terpengaruh dengan fahaman orang Melayu yang sempit dalam masalah Islam.
Ahli-ahli Pas berdasarkan kepada al-Quran, hadis, ijmak ulama dan kias. Kita tidak sempit seperti fahaman orang Melayu sehinggakan lebai yang boleh membaca al-Quran pun dianggap ulama walaupun dia tidak mengerti dan memahami isi kandungannya.

MINGGUAN: Walaupun ramai golongan ulama muda dan profesional dipilih tetapi mereka tetap berada di bawah kepimpinan Datuk Seri yang dilihat radikal dan agak keras. Apa pandangan Datuk Seri?

ABDUL HADI: Mereka yang membuat tafsiran itu siapa? Sehingga hari ini saya belum dapat apa-apa reaksi balas yang sebenarnya daripada orang ramai. Apa yang penting ialah penerimaan ahli-ahli Pas sendiri yang berhak untuk mencorakkan kepimpinan dalam muktamar mereka.
Jarak umur antara saya dengan kepimpinan baru bukanlah satu masalah. Apa yang berlaku sekarang samalah seperti jarak usia saya dengan Allahyarham Yusof Rawa ketika saya menjadi naib presiden serta dengan Allahyarham Datuk Fadzil Noor ketika saya menjadi timbalan presiden.
Dalam sejarah Islam umur tidak menjadi masalah. Apa yang menjadi masalah ialah kematangan seseorang sama ada kematangan yang sedia ada ataupun mereka berjaya mematangkan diri melalui proses perkaderan oleh parti.
Apa yang berlaku ini ialah kematangan dalam proses perkaderan bagi parti untuk menyediakan pelapis-pelapis. Sejarah Islam membuktikan bagaimana Nabi Muhamad melantik gabenor Mekah yang ketika itu berusia 20 tahun dan begitu juga kejayaan Sultan Mohamed Al-Fateh menawan Istanbul pada usia 21 tahun.

MINGGUAN: Biarpun pemilihan kali ini menonjolkan ulama muda dan profesional tetapi mereka dianggap tetap harus akur kepada apa juga keputusan Majlis Syura Ulama. Tidakkah ini boleh menimbulkan konflik?

ABDUL HADI: Dalam Islam ada perkara yang boleh direalisasikan serta-merta dan ada perkara yang perlu menunggu kefahaman masyarakat. Oleh kerana itu, bukan semua keputusan Majlis Syura Ulama mesti dilaksanakan. Jika parti memikirkan bahawa masyarakat tidak boleh terima ia akan ditangguhkan. Ada juga keputusan kepimpinan Pas pusat yang bercanggah dengan Islam dan dibatalkan oleh Majlis Syura Ulama.
Apabila wujud hal-hal seumpama ini maka kita dapat menyesuaikan keadaan sebagaimana yang dikehendaki oleh ajaran Islam. Majlis Syura Ulama boleh memberi pandangan dan berdasarkan kepada hukum tetapi jika hendak dilaksanakan ia akan dilihat apakah perkara ini perlu serta-merta atau kita perlu memahami realiti yang ada. Pihak yang akan mentafsirkan ialah jawatankuasa politik dalam Pas.

MINGGUAN: Maknanya kalau jawatankuasa politik Pas mendapati sesuatu hukum atau tindakan yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama bertentangan dengan realiti semasa, mereka berhak menolaknya?

ABDUL HADI: Ia perlu diteruskan dengan syarat tidak bercanggah dengan Islam dan hukum. Ada keputusan Majlis Syura Ulama yang kita lihat masyarakat belum mampu terima, maka kita tangguh. Di sini ada fleksibiliti, tidak boleh beku antara Majlis Syura Ulama dan jawatankuasa politik Pas. Inilah keistimewaan politik yang ada dalam Islam.
Sebagai contoh, dalam masalah hukum meneroka tanah. Mengikut mazhab Shafie sesiapa yang meneroka tanah, maka tanah itu menjadi milik mereka sama ada diizinkan oleh kerajaan atau tidak. Tetapi mazhab Hanafi menyatakan mestilah ada kerajaan yang meluluskan supaya tidak timbul kacau-bilau; tidak boleh automatik begitu kerana ini realiti hidup masyarakat. Imam Shafie berbeza dengan Imam Hanafi dalam perkara ini.
Majlis Syura Ulama boleh memberi pendapat mengikut mazhab Shafie dalam perkara ini tetapi kita berpendapat ia perlu ditangguh kerana dalam Pas juga ada kalangan profesional yang membaca hukum-hukum Islam.
Ini menandakan tiada teokrasi dalam Islam maknanya dalam Islam tidak wujud golongan agama sebagai golongan suci yang tidak boleh dipertikaikan keputusan mereka. Islam bercanggah dengan teokrasi; Islam boleh terima demokrasi.

MINGGUAN: Pas kalau boleh ingin bertanding di semua kawasan tetapi ia menghadapi masalah untuk mendapat sokongan bukan Melayu. Apa pandangan Datuk Seri?

ABDUL HADI: Kita bertanding di kawasan yang kita jangka boleh menang bahkan kawasan kita yang boleh menang pun kita bagi kepada kawan yang bekerjasama dengan kita. Kita lakukan ini dan terbukti. Kita beri Kuala Terengganu kepada Parti Melayu Semangat 46... menang, walaupun ia kawasan kita dan kita juga boleh menang bertanding sendirian.
Kita juga beri kepada rakan kita di Kelantan kawasan yang Pas boleh menang. Ini menandakan anjalan. Apa yang kita ambil kira ialah supaya ada kawasan di luar pantai timur - kawasan yang kuat UMNO yang ada penyokong Keadilan dan penyokong parti lain - boleh dimenangi oleh Pas dengan sokongan parti lain, sebagaimana parti lain boleh menang dengan sokongan Pas.
Ini bentuk kerjasama yang perlu diadakan, bukan sahaja kita hendak menang dalam pilihan raya tetapi semangat persaudaraan antara parti yang bertanding perlu diwujudkan.
Tindakan Pas ini tidak menimbulkan masalah kepada ahli. Walaupun ada antara mereka menentang kita boleh selesaikan masalah ini melalui disiplin parti. Maknanya kalau ada ahli parti tidak terima keputusan parti, kita kenakan tindakan disiplin.

MINGGUAN: Pas sudah acap kali mengadakan kerjasama dengan parti lain untuk mencapai kejayaan dalam pilihan raya. Kerjasama ini sering gagal terutamanya dengan parti bukan Melayu. Bagaimana Datuk Seri hendak mengatasi masalah ini?

ABDUL HADI: Sebenarnya ada sebahagiannya kita berjaya dan ada sebahagiannya kita gagal. Kita perlu mengambil penekanan terhadap aspek yang berjaya di mana dalam kerjasama ini kita mencapai kejayaan dari segi politik dan dari segi menyampaikan mesej kepada orang bukan Islam.
Dalam pilihan raya 2004 kita menang di beberapa peti undi kawasan bukan Islam. Ini adalah satu anjakan paradigma orang bukan Islam dan kita telah berjaya memisahkan tembok antara kita dan bukan Islam yang wujud sejak zaman penjajah sehinggalah di zaman mereka yang fikiran masih dijajah yang menjadikan Islam ini beku di kalangan orang Islam sahaja sehingga kita lupa apa yang dilakukan oleh Rasulullah yang telah berjaya menjadikan umat Islam sebagai model dalam masyarakat majoriti bukan Islam.

MINGGUAN: Tetapi tidak semua kerjasama ini mendapat restu ahli-ahli Pas malah ada antara mereka menentang kerjasama dengan parti-parti lain. Tidakkah Datuk Seri bimbang dengan perkara ini?

ABDUL HADI: Saya tidak bimbang sedikit pun kerana perbezaan pendapat sering kali terjadi dalam perjuangan. Apa yang menarik mereka yang mempunyai pendapat berbeza ini akhirnya bersama kita atau larut dengan perubahan politik yang berlaku.
Apa yang paling menyeronokkan saya dan patut disedari oleh semua pihak ialah kerjasama yang ini bukan sahaja membina kita tetapi juga membantu kawan kita yang lemah. Kita ikhlas dalam semua kerjasama yang kita buat.

MINGGUAN: Sejauh manakah barisan kepimpinan baru ini mampu menarik sokongan bukan Melayu menerima Pas tanpa bekerjasama dengan DAP?

ABDUL HADI: Pas tetap menyedari bahawa untuk memerintah dalam sebuah negara majmuk tidak mungkin boleh dengan Pas sahaja. Pas mestilah melibatkan kaum lain tetapi melalui acuan demokrasi - satu acuan yang diterima oleh Pas dan kaum lain.
Acuan demokrasi sesuai untuk bekerjasama cuma apa yang berlaku ia dihalang oleh demokrasi yang terbatas. Kita mengharapkan kepimpinan negara membuat perubahan dalam demokrasi seperti mana yang berlaku di Afrika Selatan dan Indonesia.
Kita mahu pemimpin kita mempunyai keberanian sebegitu rupa. Demokrasi yang sempit inilah yang menghalang kita mengadakan kerjasama dengan kaum lain.
Jika pemulihan demokrasi ini wujud saya yakin kita boleh menunjukkan model kerjasama dengan orang bukan Islam yang lebih daripada yang lain.

MINGGUAN: Datuk Seri mengakui Pas tidak boleh memerintah negara secara bersendirian dan memerlukan sokongan bukan Melayu tetapi setiap kali mengadakan kerjasama dengan DAP, Pas selalu gagal. Apa usaha Datuk Seri supaya ia berjaya?

ABDUL HADI: Tidak semestinya dengan DAP, kita tidak terikat dengan DAP kerana ia hanya satu parti sahaja. Masih ada parti-parti lain dan pertubuhan bukan kerajan (NGO). Kita tahu kadangkala orang bukan Islam dipengaruhi oleh NGO dan mereka boleh buat perubahan melalui NGO, bukan semestinya DAP.
DAP hanyalah salah satu daripada parti dan kita mengajak semua parti yang ingin membuat perubahan supaya bekerjasama. Memanglah dalam kerja sama ini ada perkara yang kita berselisih faham. Tetapi kita tekan dalam perkara yang kita bersetuju di mana perkara yang kita berselisih faham kita berunding kemudian. Utamakan perkara yang boleh kita bersetuju dahulu, inilah pendekatan yang perlu kita ambil.

MINGGUAN: Apa pun usaha Pas, DAP sudah tentu akan terus menolak selagi Pas mengamalkan dasar Islamnya. Apakah selepas ini tumpuan Pas kepada NGO pula untuk bekerjasama?

ABDUL HADI: Saya juga menolak DAP, selama mereka cauvinis dan sosialis. Saya boleh menolak DAP tetapi kita ada titik persamaan di mana DAP menentang ISA, kezaliman, penyelewengan dan DAP inginkan perubahan. Ini adalah titik persamaan.
Kerjasama ini berlaku di dalam dan di luar Parlimen. Ia tidak mustahil kerana dunia berubah. Kita mengharapkan akan berlaku perubahan untuk kebaikan bersama seluruh masyarakat di Malaysia sama ada yang menyokong Pas atau DAP.

MINGGUAN: Apa yang janggal mengenai Pas ialah ia ingin menarik bukan Islam tetapi tidak mahu mengubah dasar berpegang kepada al-Quran dan Sunah serta ingin menubuhkan negara Islam. Bagaimana Datuk Seri hendak menjelaskan semua ini?

ABDUL HADI: Kita menghadapi bukan sahaja orang bukan Islam yang tidak faham tetapi juga orang Islam. Orang Islam perlu faham bahawa dalam Islam ada dua perkara: Pertama, amalan-amalan agama yang berkait dengan akidah dan Rukun Islam serta rukun yang perlu diberi penekanan peribadi. Ini perkara yang tidak berganjak - mesti seorang itu Islam.
Tetapi dalam hal politik, ini diajar oleh Nabi Muhammad, kita boleh bekerjasama dengan orang yang tidak masuk Islam. Kaedah ini sudah berjaya malah paling berjaya dalam sejarah, dan orang Islam patut menonjolkannya. Kita mahu bekerjasama dengan orang bukan Islam untuk menegakkan keadilan dalam semua segi seperti mahkamah, ekonomi dan pendidikan.
Semua perkara ini dilaksanakan oleh Nabi Muhammad semasa mendirikan negara Islam yang pertama di Madinah. Baginda mengadakan persefahaman dengan orang Yahudi - bangsa yang paling degil dalam dunia, lebih degil daripada orang Cina, lebih degil daripada orang Melayu yang degil.
Tetapi ia boleh mengadakan kerjasama dan berjaya mendirikan sebuah kerajaan dalam keadaan mereka tidak dipaksa menganut Islam. Mereka menerima pemerintahan kerana kita hendak mengambil uslub demokrasi. Uslub demokrasi ini ialah kita menerima perubahan bagi melaksanakan Islam. Ada perkara yang sama contohnya undang-undang jalan raya yang wajib dikenakan kepada se-mua kaum begitu juga dengan hak untuk berniaga, belajar dan mempertahankan bahasa ibunda. Ini dihormati oleh Islam.
Perkara ini diterima oleh DAP dan orang bukan Islam. Islam mengakui hak mereka. Sebagai contoh hak menolong orang miskin tidak semestinya hanya untuk bumiputera. Kalau orang miskin itu bukan bumiputera mereka wajib ditolong. Kalau pemerintah Islam tidak tolong ia satu dosa walaupun yang tidak ditolong itu bukan Islam. Inilah yang perlu kita tekankan.
Kalau perkara ini ditonjolkan saya yakin kita boleh mengadakan kerjasama dengan orang bukan Islam tetapi mestilah ada satu model. Kita cuba wujudkan model di Kelantan dan Terengganu. Kita telah melaksanakan hak untuk bukan Islam tetapi kita dikepung.
Sekatan yang dibuat ini tidak demokratik, kalau demokrasi itu wujud saya yakin orang bukan Islam boleh terima. Oleh kerana itu saya mengambil pendekatan demokrasi, kita tidak paksa hendak mewujudkan pemerintahan Islam dalam sekelip mata, kita beri hak kepada siapa yang menang di peringkat pusat.
Tetapi bagi negeri yang kita perintah dan dikuasai oleh Pas dengan majoriti orang Islam kita laksanakan Islam dahulu. Untuk orang Islam sahaja walaupun bukan Islam minoriti namun mereka tidak akan dipaksa untuk hukum Islam.

MINGGUAN: Pas sebuah parti politik yang besar dan Datuk Seri dilihat salah seorang tokoh politik utama di negara ini. Kenapa perlu laluan diberikan kepada Anwar Ibrahim untuk mengetuai barisan pembangkang? Tidakkah ini akan menjejaskan kredibiliti Pas atau Datuk Seri sebenarnya tidak mampu memimpin barisan pembangkang?

ABDUL HADI: Pas mempunyai sikap yang terbuka iaitu kepimpinan pembangkang adalah kepimpinan yang paling diterima oleh rakyat. Sama ada saya atau Anwar, kita terima.
Walaupun Pas sebuah parti yang besar tetapi untuk membuat perubahan kita menerima sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin pembangkang termasuk Anwar. Beliau boleh menjadi ketua tetapi ketua ini mestilah diterima oleh rakyat sama ada Islam mahupun bukan Islam.

MINGGUAN: Tetapi Pas lebih kuat dan berpengaruh berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kenapa perlu tunduk kepada PKR?

ABDUL HADI: Pengaruh Pas ada di kalangan orang Melayu tetapi kita perlu perubahan seluruh rakyat bukan orang Melayu sahaja. Kita menguasai orang Melayu untuk membuat perubahan, kita dapat menarik semua kaum oleh kerana itu kita perlu kepala kepimpinan yang boleh diterima oleh sesiapa sahaja, maka Pas menerima sesiapa sahaja pemimpin yang diterima oleh semua kaum.

MINGGUAN: Tetapi ada ahli Pas sendiri menentang langkah untuk mengambil Anwar mengetuai barisan pembangkang?

ABDUL HADI: Itu seorang daripada sejuta ahli Pas. Saya anggap begitu di mana menjadi amalan dalam Pas mereka boleh beri pendapat tetapi apabila sudah menjadi keputusan parti, mereka akan terima keputusan parti dan mereka akan bekerja dengan gigih.
Ini diakui sendiri oleh pemimpin DAP, pada masa mereka bekerjasama dengan Pas. Ada ahli Pas yang bekerja dengan gigih di kawasan DAP sebagaimana orang Cina bekerja dengan gigih di kawasan Pas. Itu antara kawan-kawan kita, apatah lagi sesama Pas mereka boleh bekerja walaupun mereka tidak bersetuju dengan calon.

MINGGUAN: Ada penganalisis politik berpendapat, Pas hakikatnya boleh mencapai kejayaan dengan melakukan perjuangan sendiri tetapi malangnya Pas sendiri memilih untuk bekerjasama dengan parti lain apabila menjelang pilihan raya?

ABDUL HADI: Pandangan itu adalah pandangan orang yang tidak Islamik. Islam adalah agama untuk semua kaum dan semua manusia, bukan sahaja penganut Islam tetapi juga penganut bukan Islam.
Bukan dalam konteks untuk mengajak masuk Islam tetapi termasuk dalam konteks politik, kita perlu bekerjasama dengan semua orang. Ini prinsip yang diajar oleh Nabi Muhammad tetapi Islam mesti menjadi pemimpin.
Atas sebab itu saya tetap menerima hakikat yang pertama, untuk menguasai politik Malaysia mesti melibatkan semua kaum tidak boleh orang Melayu sahaja.
Kedua, untuk mengepalai barisan pembangkang ini mesti orang Melayu beragama Islam dan mereka ini terbahagi kepada dua iaitu orang Melayu yang diterima oleh orang Islam sahaja dan orang Melayu yang diterima oleh orang Islam dan bukan Islam. Ini perlu kita cari di kalangan pimpinan orang Melayu.

MINGGUAN: Datuk Seri sering dilihat bercanggah pendapat dengan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Malah dalam sesetengah isu kenyataan yang dibuat telah menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai. Kenapa ini berlaku?

ABDUL HADI: Itu menandakan demokrasi dalam Pas. Ia juga menandakan ulama kita bukan ulama agama yang mengamalkan fahaman teokrasi. Dalam Islam adalah tidak betul jika kita menganggap kata-kata ulama sebagai firman. Ulama tidak suci.
Mereka boleh memberi pandangan dalam perkara yang tidak ada nas, bahkan Nabi Muhammad dalam perkara yang tidak ada nas baginda diberi pandangan oleh para sahabat dan baginda menerima pandangan mereka. Ini diajar oleh Islam. Kita hendak menunjukkan model demokrasi dalam parti kita dengan harapan parti lain akan mencontohinya.

MINGGUAN: Mungkin bagi ahli Pas mereka boleh terima tetapi bagaimana dengan orang di luar Pas? Mereka melihat ia satu pertentangan pendapat yang cukup ketara.

ABDUL HADI: Saya sebagai pemimpin Pas lebih memahami orang Pas berbanding dengan orang di luar Pas. Islam mengajar kita wajib bersepakat dengan perkara yang ada nas dalam al-Quran dan hadis. Kalau perkara yang tidak ada nas kita boleh berselisih faham.
Dalam sejarah Islam, Imam Shafie adalah guru kepada Imam Ahmad Abbas, Imam Shafie adalah murid kepada Imam Malik bin Anas, Imam Shafie murid kepada Mohamad bin Hassan Syaibani pemimpin mazhab Hanafi.
Walaupun mereka bertelingkah dari segi mazhab tetapi mereka berguru antara satu sama lain. Ini keindahan yang ada dalam Islam.

MINGGUAN: Nik Abdul Aziz menyifatkan mereka yang memburukkan peribadi orang ketika berkempen dalam pemilihan baru ini bukan pejuang Islam tetapi pejuang Pas. Apa pandangan Datuk Seri?

ABDUL HADI: Pas adalah wadah. Asas, prinsip dan akidah kita adalah Islam. Kita berjuang Islam selagi Pas berdiri di atas wadah dan prinsip Islam ini. Kalau Pas ubah dasarnya lari daripada Islam maka kita tidak boleh berjuang lagi dengan Pas.
Kita tidak mahu ajar orang Pas fanatik kepada pemimpin atau fanatik kepada parti. Tetapi mereka setia dengan Islam, inilah keistimewaan dalam Pas. Apabila ada pemimpin meninggal dunia, parti tetap tegak, sejak tahun 1951 lagi.
Bagi mereka yang mengkaji kita berbeza dengan parti lain walaupun pasang surut dalam pilihan raya tetapi Pas tegak. Ahlinya bertambah bukannya berpecah. Kalau ada keluar Pas yang masuk Pas lebih ramai lagi.

WAWANCARA EKSKLUSIF DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT KEPADA MINGGUAN MALAYSIA (27 MEI 2007)

Perwakilan sudah akil baligh


Muktamar Pas yang akan berlangsung pada 1 hingga 3 Jun ini dilihat sebagai gelanggang golongan ulama konservatif menyekat kemaraan golongan progresif dan profesional. Sebelum ini golongan progresif yang terdiri daripada kalangan profesional dilihat telah banyak mengubah pendekatan dan imej Pas.
Golongan ulama konservatif dikatakan bimbang dengan sikap proaktif golongan muda dalam parti itu. Mereka yang berfikiran lebih terbuka dan realistik dengan kehendak generasi muda menimbulkan rasa kurang selesa golongan konservatif.
Ini yang membuatkan muktamar kali ini penting bagi Pas untuk mengembalikan penguasaan golongan konservatif seterusnya menghadapi pilihan raya. Keterbukaan kerajaan Kelantan menganjurkan konsert Mawi tidak lama dulu merupakan titik awal perubahan yang dibuat untuk mendekati golongan muda. Tetapi ini kurang disenangi oleh golongan konservatif.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap pemilihan pada muktamar kali ini perlu seimbang, ada konservatif dan progresif.
‘‘Saya harap perwakilan pilih ulama dari kedua-dua belah. Jangan konservatif saja, jangan profesional saja,’’ kata Nik Abdul Aziz dalam wawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia WAN ZULKIFLI WAN YAAKOB.
Sementara itu Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub pula dalam wawancara oleh SITI MARIAM MD ZAIN di Kuala Lumpur menegaskan Pemuda mesti berani menegur pemimpin parti dan bukan ‘‘pak turut’’.

MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat pemilihan barisan kepimpinan pada muktamar yang akan berlangsung di Kota Bharu ketika pilihan raya mungkin diadakan bila-bila masa sahaja?

NIK ABDUL AZIZ: Bagi saya, pilih mereka yang berkemampuan melaksanakan Islam secara ilmu dan amal. Kita sekarang melalui zaman peralihan. Kerana biasa kita hanya jaga, urus pondok, surau dan masjid, sekarang kita mempunyai peluang untuk mentadbir negeri dan negara.
Negeri dan negara kita mengikut demokrasi, tak kira siapa saja, boleh pilih dan tentukan dasar partinya seperti yang dibenar negara.
Jika ambil Islam, ia bukan benda baru. Kalau ikut zaman Nabi Muhammad 1,400 tahun dulu dan kalau ambil Nabi-Nabi sebelum itu, beribu tahun lagi. Islam bukan ciptaan manusia, tapi Allah.

MINGGUAN: Datuk sebelum ini menggambarkan harapan mahu melihat wujudnya barisan pemimpin secara seimbang, ulama dan profesional. Apa yang dibimbangkan?

NIK ABDUL AZIZ: Isu ini tak timbul zaman dulu. Timbul zaman sekarang, apabila pemerintahan Islam dianggap pelik. Oleh demikian diberikan label ulama profesional dan konservatif yang dicetuskan oleh mereka yang tidak memahami dan menyenangi Islam. Mana ada dunia ini ulama Islam yang konservatif.
Sejarah Islam ada ulama geografi, ulama pertanian, ulama bedah doktor, ulama ekonomi. Bermacam, ulama. Tika itu kebetulan wujud kerajaan Islam di muka bumi. Apabila tiada lagi kerajaan Islam di dunia, maka ulama-ulama mengembangkan syiar melalui masjid, pondok, apatah lagi mereka ditekan dengan pelbagai cara oleh penjajah demi penjajah agar tidak muncul.
Bila timbul pemilihan, saya harap sepenuhnya perwakilan pilih ulama-ulama daripada kedua-dua belah. Jangan pilih konservatif saja, jangan pilih profesional saja. Kerana dalam Islam ada dua kaedah. Barang tetap, macam halal dan haram, tak boleh ubah.
Satu lagi barang berubah-ubah, dari segi teknik. Pernah Nabi bila pergi Perang Badar, baginda pasang khemah di satu tempat dan sahabat menanyakan sama ada tempat itu dipilih kerana kehendak Allah atau keputusannya, jika pandai-pandai kamu, ini bukan tempatnya, tak sesuai dari segi permukaan bumi.
Maka Nabi pindahkan ke tempat lain sebab mengakui orang ini profesional. Nabi mana tahu perang pada masa itu, yang tahu banyak fasal perang ialah Badawi. Jadi, Nabi terima pandangan mereka.
Dalam kerajaan Kelantan sendiri ada gabungan yang lengkap – ada yang berlatarkan ketenteraan, perubatan, korporat, pensyarah ekonomi dan pendidikan Islam. Alhamdulillah, ahli profesional turut menduduki barisan kepimpinan di Kelantan, sebab itu datang apa masalah pun, ia tak jadi masalah bagi saya sebagai ketua kerajaan kerana ia boleh diteliti dan diatasi kerana adanya mereka di samping dibantu oleh pegawai kerajaan.

MINGGUAN: Dengan kedudukan Datuk sebagai Mursyidul Am, kali ini Datuk dilihat tidak campur tangan untuk tentukan barisan kepimpinan.

NIK ABDUL AZIZ: Saya tak akan campur tangan, para perwakilan orang dah akil baligh, semua mereka dah mengerti bahawa kerja dan tanggungjawab yang dilakukan berupa ibadah untuk dunia dan akhirat.
Kita ini orang Islam serupa saja, baik sembahyang, baik mengundi, baik apa sahaja, semuanya adalah ibadat kepada Allah. Mana boleh paksa-paksa buat ibadat.

MINGGUAN: Datuk juga sebelum ini mencetuskan pandangan supaya turut diberi ruang kepada bukan Melayu terutama kaum Cina untuk berada dalam barisan kepimpinan parti pada masa depan, adakah ia begitu mendesak?

NIK ABDUL AZIZ: Sekarang belum ada lagi, namun kalangan bukan Islam kita semakin berjaya mendekati apabila sudah wujud kelab-kelab penyokong Pas dalam kalangan kaum Cina, India dan Siam yang merupakan benih-benih baru.
Mereka mula menyokong sebab dia lihat apa yang UMNO cakap fasal kita untuk menakut-nakutkan dengan memberi gambaran negatif seperti mungkin mencetuskan keadaan yang kacau, soal ketepikan kaum lain dalam masyarakat majmuk, soal tak ada kemajuan, soal kemunduran. Yang jelas tak betul dan mengelirukan mereka.
Di Kelantan, sebagai contoh pembangunan fizikal banyak tumbuh, pelbagai kaum hidup bebas, penuh mesra dan majlis memasak bubur asyura yang dikaitkan dengan tradisi orang Melayu turut disertai oleh rakyat pelbagai kaum dalam suasana riang.

MINGGUAN: Datuk Annuar Tan (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat Kelantan) mungkin boleh diangkat ke peringkat Pusat, kerana beliau mungkin sampel kejayaan orang Cina dalam Pas?

NIK ABDUL AZIZ: Memang dia dah diangkat. Tapi dia undur diri sebab pergi sana pun tak banyak peranan dan memberi tumpuan penuh di peringkat Kelantan terlebih dahulu.

MINGGUAN: Banyak pihak menyifatkan Pas perlu lebih berwajah Malaysia untuk benar-benar menarik sokongan bukan Melayu membolehkannya kembali bercita-cita menguasai pemerintahan negara.

NIK ABDUL AZIZ: Islam itu sendiri berwajah global, bukan setakat wajah Malaysia. Islam ini rahmat bagi seluruh alam.

MINGGUAN: Pada pandangan Datuk, apakah muktamar kali ini tidak ditangguhkan agar fokus tidak kepada pemilihan tetapi lebih terarah kepada satu persiapan gerak kerja pilihan raya?

NIK ABDUL AZIZ: Pilihan raya tidak lima tahun sekali. Tiap-tiap minit kita pilihan raya. Pilihan untuk melakukan yang baik dan yang buruk. Ini pilihan sebenar. Nak solat ke... nak mencuri, nak rasuah... berlaku sepanjang masa. Yang zahir kelihatan lima tahun sekali.

MINGGUAN: Menjelang pilihan raya kali ini tidak lagi kedengaran soal pimpinan Pas memperkatakan soal memerintah negara. Lebih kepada pertahankan Kelantan, menguasai semula Terengganu dan meningkatkan kerusi di beberapa negeri. Adakah Pas kembali realistik bahawa tidak akan menang besar?

NIK ABDUL AZIZ: Islam adalah teras perjuangan dan agama itu diturunkan kepada manusia dan tiada seorang pun terkecuali daripada menerima Islam. Bagaimana kita nak terus gerakkan dakwah bagi penerimaan terhadap Islam, itu kerja Pas berterusan.
Jadi dalam muktamar ini, selain daripada nak jaga pangkalan di Kelantan, Kedah dan Terengganu, kita secara berterusan nak beritahu rakyat Malaysia bahawa Islam itu suatu cara hidup dan tiada kaedah lain yang lebih baik dan lebih selamat melainkan bersama Islam.

MINGGUAN: Kelantan dianggap sesetengah pihak sebagai benteng survival parti Pas manakala pimpinan Pas sentiasa merujuk ia sebagai contoh keberkesanan dakwah dan kepimpinan bertunjangkan Islam. Namun mengapa kepercayaan rakyat semakin terhakis sehingga hampir tumbang dalam pilihan raya umum lalu?

NIK ABDUL AZIZ: Tanya dulu apakah pilihan raya kita benar-benar secara demokrasi atau tidak. Banyak mana wang dicurah. Tengok sahaja kes pilihan raya kecil di Ijok.
Sering timbul masalah daftar pengundi hilang berpuluh ribu. Pengundi luar masuk tempat lain. Alhamdulillah nama saya tak hilang. Tapi ramai pengundi kita lepas ke Sabah, Perak. Dosa yang nak ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya, tidak siapa boleh maafkan, kalau dia tahu tapi dia buat juga.

MINGGUAN: Jika itu terus dijadikan alasan, apakah peluang Pas dalam pilihan raya kali ini?

NIK ABDUL AZIZ: Peluang Pas baik sekiranya demokrasi berjalan betul. Beri peluang kepada rakyat sepenuhnya, mengundi mengikut apa yang dia nak. Tapi jika dia sekat sana sekat sini, kita nak buat macam mana.

WAWANCARA EKSKLUSIF SALAHUDDIN AYUB KEPADA MINGGUAN MALAYSIA (11 JUN 2006)

Mengubah persepsi Pas


Mukadimah

Suara pemimpin muda dalam Pas kelihatan agak bertentangan dengan pemimpin lama yang mengambil pendekatan agak radikal serta mewujudkan jurang dengan generasi muda. Kepimpinan muda dalam Pas mulai mendekati masyarakat dengan program-program yang tidak kelihatan agenda politiknya.
Pendekatan inilah yang ditekankan dalam Dewan Pemuda Pas supaya imej golongan penentang dan radikal yang selama ini dilabelkan oleh rakyat dapat dikikis.
Pemuda Pas mahu kelihatan lebih moderat dengan melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dan tidak lagi dianggap sebagai kumpulan pembangkang yang membuta tuli.
Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub menjelaskan, semua pembaharuan yang telah dan akan dilaksanakan untuk memacu Pemuda Pas supaya menjadi sayap parti pembangkang yang progresif.
Pemimpin muda Pas, katanya, tidak boleh lagi duduk dalam kepompong yang bersifat bangkangan semata-mata tetapi berkemampuan berinteraksi dan bekerjasama selain menawarkan pakej-pakej perkhidmatan dalam isu-isu yang mempunyai kepentingan negara.
Beliau menekankan, Pas perlu bermuhasabah tentang kepimpinan baru yang diberi mandat oleh rakyat. Adakah pemimpin -pemimpin itu telah memenuhi kewajipan dan kehendak ahli.
Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, Yusri Sahat sempena Muktamar Pas ke-52 di Alor Star Khamis lalu, Salahuddin berkata, “Saya mahu melihat Pas mampu menawarkan pakej kerjasama untuk kepentingan rakyat selain mempunyai satu pasukan kepimpinan yang benar-benar meyakinkan negara.”
Pada masa yang sama juga beliau melahirkan kekecewaan dengan tanggapan kononnya Pemuda Pas kurang diberi pendedahan dalam segala aktiviti yang dijalankan berbanding Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO. Ikuti wawancara seterusnya bersama Salahuddin.

MINGGUAN: Apa manfaat yang diperoleh oleh Pemuda Pas daripada muktamar kali ini?

SALAHUDDIN: Saya mahu melihat Pemuda Pas sebagai peneraju kepada kebangkitan rakyat yang memungkinkan rakyat memberi mandat dan kepercayaan kepada Pas. Kita telah bersedia menghadapi kemungkinan menghadapi pilihan raya lebih awal. Kita mengandaikan pilihan raya akan diadakan pada penghujung tahun depan atau selewat-lewatnya pada April 2008.
Saya mahu pimpinan Pas hari ini segera mempelopori satu kebijaksanaan politik. Selain mempunyai pakatan pembangkang, kita mahu Pas bersama-sama dengan tokoh-tokoh negara seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa individu UMNO termasuk Datuk Shahril Abdul Samad. Saya tidak melihat secara emosional sebagai ahli Pas semata-mata. Beberapa isu yang diketengahkan bukan dimainkan oleh parti pembangkang tetapi dibangkitkan sendiri oleh ahli-ahli UMNO.
Jika Pas yang membangkitkan isu-isu ini, rakyat akan melihat Pas sengaja mencari salah kerajaan. Saya melihat rakyat Malaysia semakin berani bercakap dalam konteks kepentingan negara dan bukan bersifat politik.
Saya sebagai orang muda bersedia untuk melupakan seketika sentimen politik tetapi bekerjasama dalam ground yang sangat luas ini demi kepentingan rakyat dan negara.
Dalam muktamar kali ini saya dikritik kerana melabelkan Dr. Mahathir sebagai Ketua Pembangkang Negara tetapi saya percaya Dr. Mahathir telah memainkan peranan sebagai rakyat dengan melihat apa yang berlaku sekarang boleh mengancam masa depan negara jika tidak diperbetulkan.
Jadi, pemimpin Pas perlu berganding bahu untuk duduk semeja dengan melupakan sentimen politik dan berbincang apa sebenarnya yang baik untuk negara. Itu sebenarnya yang saya bawa dalam muktamar kali ini.
Di samping itu, Pas perlu bermuhasabah tentang kepimpinan baru yang diberi mandat oleh rakyat. Adakah kita telah memenuhi kewajipan dan kehendak ahli.
Ini kerana saya mahu melihat Pas mampu menawarkan pakej kerjasama untuk kepentingan rakyat selain mempunyai satu pasukan kepimpinan yang benar-benar meyakinkan negara.

MINGGUAN: Sejak menerajui Pas selama dua penggal, apakah sumbangan saudara terhadap Pemuda Pas?

SALAHUDDIN: Yang pertama ialah menjana pasukan kepimpinan Pemuda Pas untuk tempoh lima tahun akan datang. Dunia semakin berubah dan rakyat semakin bijak menilai kita. Oleh itu, pasukan Pemuda Pas perlu diberi pendedahan secukupnya supaya dapat melahirkan bakal barisan kepimpinan yang mantap.
Ia akan berasaskan kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Saya mahu Pemuda Pas hebat dan jaguh di gelanggang sendiri dan juga di gelanggang orang lain.
Yang kedua, kita cuba mendekati golongan remaja dengan ekspedisi kasih sayang. Kami cuba meruntuhkan tembok pemisah dengan golongan belia. Dulu, mungkin imej Pas pada pandangan mata mereka terlalu radikal sehingga mereka takut untuk mendekati kita.
Kini, kita mahu menjadi duta penyelamat dan kasih sayang kepada golongan remaja yang bermasalah ini. Oleh itu, saya mahu mewajahkan semula Pemuda Pas dengan satu pendekatan yang lebih mesra. Kita tidak mahu lagi mengkritik mereka (remaja) tetapi pergi kepada mereka dan menawarkan bentuk-bentuk perkhidmatan yang boleh diberikan.
Antaranya termasuk program kaunseling dan motivasi yang diadakan dengan penuh kasih sayang.
Yang ketiga, mewujudkan hubungan baik dengan agensi-agensi kerajaan seperti Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (Pemadam), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Kita tidak lagi mahu duduk dalam kepompong yang bersifat bangkangan semata-mata tetapi berkemampuan berinteraksi dan bekerjasama selain menawarkan pakej-pakej perkhidmatan dalam isu-isu yang mempunyai kepentingan negara.
Di Pemadam, kami berdialog selama dua jam bagi membincangkan isu-isu mengenai penagihan dadah dan menawarkan kepakaran kita.
Ini kerana dalam Pas ada peguam, doktor, kaunselor dan pakar motivasi. Kita boleh masuk ke pusat-pusat serenti untuk bertemu para pelatih. Alhamdulillah, program ini berjaya. Kita juga mengadakan hubungan dengan Mara dengan memberikan pandangan bagaimana untuk meningkatkan ekonomi bumiputera. Bagi saya, isu kegagalan bumiputera mencapai 30 peratus ekuiti adalah isu nasional dan bukan politik. Saya merasakan Pas juga bertanggungjawab untuk memastikan matlamat ini tercapai. Pas mempunyai latar belakang perniagaan, ahli-ahli ekonomi, konsultan dalam bidang perniagaan.
Dengan DBP, kita juga mengadakan perbincangan dalam isu bahasa Melayu. Sebenarnya dalam menentukan masa depan Melayu dan negara, banyak perkara yang boleh diterokai oleh Pas walaupun kami parti pembangkang. Jika Pas diberi peluang, banyak yang boleh kami berikan sumbangan.
Ini gagasan dan gerak kerja yang telah saya jalankan dalam Pemuda Pas. Ini satu kelainan yang saya lakukan berbanding yang lalu.

MINGGUAN: Bagaimana saudara melihat perubahan yang ada di dalam Pemuda Pas? Adakah mereka masih ditakuk lama atau berlaku perubahan positif dalam pergerakan ini?

SALAHUDDIN: Saya banyak membaca buku bibliografi pemimpin dunia. Yang paling kagum tentulah nabi besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Nabi sendiri mengambil masa puluhan tahun untuk berjaya. Islam berjaya meruntuhkan empayar Rom dan Parsi selepas baginda wafat.
Begitu juga Karl Marx apabila ideologi komunisnya berjaya dikembangkan di Eropah Timur selepas kematiannya.
Apa yang saya lakukan hari ini ialah untuk kebaikan parti pada masa depan. Sama ada saya dapat melihat atau tidak, itu terpulang. Saya tidak menafikan menerima kritikan daripada gagasan yang saya cuba bawa hari ini. Mungkin ia satu pemikiran atau budaya baru.
Saya harus bersabar dan berjiwa besar untuk terus berjuang dan memberikan kefahaman yang jelas apa yang hendak dibawa.
Pepatah Inggeris ada mengatakan yang bermaksud “Rom tidak dibina dalam satu hari”. Kejayaan yang hendak dicipta bukan boleh dilakukan dalam satu hari. Apa yang penting, Pemuda perlu berpandangan futuristik untuk membaca zaman supaya Pas terus relevan sepanjang masa.

MINGGUAN: Sepanjang perbahasan, ada idea saudara ditolak oleh perwakilan yang seolah-olah menunjukkan mereka sukar menerima idea baru?

SALAHUDDIN: Bukan mereka menolak tetapi mengkritik. Mungkin mereka merasakan ia perkara baru dan mereka memberikan pandangan mereka. Pemikiran begini yang saya mahu. Saya berpegang kepada kata-kata bekas Presiden Indonesia, Sukarno iaitu, “Kamu bukan seorang pemimpin sebenarnya kalau kamu tidak dikritik.” Satu-satu doktrin atau pemikiran baru itu, perlu melalui proses kritikan. Barulah ia matang.

MINGGUAN: Mungkin saudara merasakan saudara berada dalam proses pematangan bila mengalami kritikan sebegini?

SALAHUDDIN: Ya. Itu proses kematangan yang mesti dilalui oleh seseorang pemimpin dan ia amat positif sekali demi kebaikan parti pada masa hadapan.

MINGGUAN: Pemuda UMNO dilihat lebih diminati oleh golongan muda di negara ini berbanding Pemuda Pas yang dilabelkan sebagai kumpulan radikal. Bagaimana Pemuda Pas mahu mengubah persepsi ini?

SALAHUDDIN: Pemuda Pas perlu bekerja keras. Kita perlu menjalankan kerja kita dengan lebih strategik kerana kami tidak ada kemudahan. Sebenarnya, kalau media beri kami sedikit peluang, saya rasa banyak yang telah kami lakukan. Rakyat dapat melihat apa yang kami buat.
Malangnya, kami tidak ada kesempatan. Muktamar pun setahun sekali dan ketika itulah baru kami dapat liputan sedikit. Kita memang sedang berusaha mengubah persepsi supaya tidak digambarkan imej seburuk itu.

MINGGUAN: Sebahagian Pemuda Pas yang berjubah dan berserban mungkin menimbulkan jurang kepada golongan muda di luar sana yang lebih up-to-date?

SALAHUDDIN: Dalam pimpinan Pas sekarang tidak lagi menunjukkan satu uniform yang khusus. Saya yang tidak berjubah dan berserban tidak menjadi halangan kepada pimpinan Pas. Masyarakat ada pelbagai rupa. Ada golongan moderat, intelektual dan ulama. Masing-masing ada peranan. Pakaian bukan halangan. Saya dan ahli Exco Pemuda dilihat lebih versatil sesuai dengan jiwa orang muda.

MINGGUAN: Mungkinkah imej pembangkang telah menakutkan rakyat untuk mendekati program yang dijalankan oleh Pas?

SALAHUDDIN: Pemikiran masyarakat kita tidak seperti Barat. Barat melihat pembangkang sebagai satu institusi kepada negara. Misalnya, gelaran ketua pembangkang di Parlimen Britain ialah Her Majesty’s Loyal Opposition. Mereka amat menyanjung tinggi golongan pembangkang dalam kerajaan. Bagaimanapun di Malaysia, rakyat melihat pembangkang sebagai sesuatu yang negatif.
Apatah lagi kepada kakitangan kerajaan yang terikat dengan akujanji yang pastinya takut untuk menghantar anak-anak mereka ke taman-taman asuhan milik Pas. Itu antara halangan yang perlu dihadapi. Kita perlu keluar daripada imej itu. Oleh itu, kami perlu bekerja lebih kuat.

MINGGUAN: Adakah saudara merasakan ada pemimpin Pas yang dianggap telah terlalu lama memegang jawatan? Adakah perlu diambil alih oleh pemimpin muda?

SALAHUDDIN: Perwakilan yang menentukan mandat. Pada saya perwakilan memilih siapa yang boleh menerajui parti, tidak kira tua atau muda. Buat apa orang muda diberi mandat tetapi gagal menunjukkan prestasi yang baik.
Prinsipnya ialah sama ada tua atau muda, kita perlu memberikan sumbangan kepada parti. Jatuh bangun seseorang dalam politik bergantung kepada keupayaannya. Kalau orang tua tidak berupaya, dia akan diganti dengan orang muda, Begitu juga kepada orang muda.

MINGGUAN: Mungkin saudara mahu menamakan lebih ramai calon muda Pas dalam pilihan raya akan datang?

SALAHUDDIN: Pemuda mesti bekerja kuat kerana pucuk pimpinan melihat. Jika kita menanamkan budaya kerja kuat ini, tidak perlu lagi kita melobi atau meminta-minta.
Kalau pimpinan melihat Pemuda boleh melaksanakan tugas dengan baik, dengan sendirinya kita akan terpilih sebagai calon. Tidak perlu merayu kepada pucuk pimpinan. Biar kita persembahkan yang terbaik dan terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memilih siapa yang dirasakan layak sebagai calon.

MINGGUAN: Adakah benar Pemuda Pas tidak sealiran dengan Dewan Ulama Pas?

SALAHUDDIN: Dalam Pemuda Pas, kita berani untuk bersuara. Saya tidak melatih anak-anak buah menjadi yes man. Parti juga tidak bergembira kalau ahli-ahlinya menjadi yes man. Biar kita menjadi golongan pendesak dan pengkritik yang membina.
Pada masa yang sama, peranan Dewan Ulama akan menegur kita jika apa yang dilakukan bercanggah dengan dasar parti. Adalah perkara biasa kita diperbetulkan oleh Dewan Ulama. Tidak ada satu jurang yang besar antara Pemuda Pas dengan Dewan Ulama.

MINGGUAN: Teguran saudara baru-baru ini bahawa barisan pimpinan baru Pas kurang menyerlah dan ia mengguris perasaan mereka. Mungkinkah ini boleh mengeruhkan hubungan?

SALAHUDDIN: Kritikan ini adalah ikhlas dan demi masa depan Pas. Semua kepimpinan Pas diajar untuk melihat perjuangan parti mengatasi segala-galanya. Pemimpin datang dan pergi. Yang penting ialah parti mesti kuat. Perjuangan mesti maju.
Kritikan bukan bermakna kami tidak taat atau tidak suka dengan individu yang dikritik. Kritikan itu perlu diperbaiki dan dipertingkatkan untuk kebaikan parti. Saya juga sedia dikritik dan menjadi pendengar yang baik.

MINGGUAN: Saudara dilihat sebagai antara Ahli Parlimen yang lantang di Dewan Rakyat. Adakah ini meletakkan Pemuda Pas sebagai pergerakan yang mantap?

SALAHUDDIN: Itu adalah kesempatan yang saya gunakan. Saya sebenarnya melakukan yang terbaik untuk menggunakan setiap ruang di Parlimen. Kalau ditanya kepada rakan-rakan daripada UMNO, saya digelar pakar usul. Banyak usul saya kemukakan dalam perbahasan. Parlimen merupakan satu platform untuk saya memberi gambaran bahawa Pemuda Pas boleh memberikan pandangan terbaik dalam banyak isu untuk kepentingan negara.

MINGGUAN: Mungkin saudara mempunyai pergerakan politik antarabangsa yang menjadi idola atau contoh kepada Pemuda Pas?

SALAHUDDIN: Saya tertarik dengan gerakan Al- Khidmat di Pakistan yang amat profesional dalam menjalankan kerja-kera kebajikan dan pendekatannya dengan masyarakat. Persatuan Muslim Aid di London juga amat sistematik dalam kerja-kerja kebajikan. Di Indonesia, Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mendekati golongan muda dengan kerja-kerja kebajikan. Mereka berjaya menginstitusikan kerja-kerja kebajikan mereka.
Rakyat memberikan kepercayaan kepada mereka. Saya sedang cuba mengaplikasikan dalam kepimpinan saya. Misalnya, kami ada unit amal yang bergerak dalam masyarakat melakukan kerja-kerja kebajikan. Kami juga ada Pasti iaitu Pusat Asuhan Kanak-Kanak Islam sehingga telah diberikan pengiktirafan oleh masyarakat.
Bukan sahaja ahli Pas yang menghantar anak- anak mereka ke Pasti, bukan ahli pun turut menghantar juga. Kita telah menonjolkan satu sistem pendidikan prasekolah yang meyakinkan. Kurikulumnya digubal oleh pakar-pakar pendidikan kita.

MINGGUAN: Adakah Pemuda Pas menganggap Puteri UMNO sebagai ancaman memandangkan pergerakan itu amat aktif dalam kerja-kerja kebajikan?

SALAHUDDIN: Puteri UMNO mempunyai advantage. Mereka boleh masuk ke sekolah-sekolah. Kita pun ada jalankan kegiatan kemasyarakatan. Kita ada pusat-pusat tuisyen yang diadakan secara percuma. Kalau media memberikan fokus kepada kita, kita sebenarnya tidak jauh ketinggalan berbanding Puteri UMNO.

MINGGUAN: Adakah saudara setuju jika bukan Islam menyertai Pas?

SALAHUDDIN: Kita perlu sediakan satu platform yang terbaik kepada bukan Islam. Ini melibatkan sesuatu yang di luar bidang kuasa Pemuda Pas. Pas perlu menyediakan platform ini untuk mereka memberikan sumbangan dan khidmat kepada parti. Bagaimana platform itu, kami serahkan kepada pucuk pimpinan parti menentukan. Pemuda Pas memang mengakui golongan bukan Islam perlu diberi tempat dalam parti.

MINGGUAN: Bagaimana persiapan Pas untuk menghadapi pilihan raya yang diramalkan pada hujung tahun depan atau 2008?

SALAHUDDIN: Kami telah menggerakkan seluruh jentera untuk menghadapi kemungkinan itu. Di Sarawak baru-baru ini, kita telah menghulurkan perkhidmatan kita. Memang kita telah bersedia.

MINGGUAN: Ke arah mana saudara mahu membawa Pemuda Pas?

SALAHUDDIN: Saya mahu menjadikan Pemuda Pas sebagai satu pasukan yang boleh menterjemahkan dasar-dasar Islam kepada masyarakat di negara ini. Terjemahkan dasar-dasar Islam dalam kehidupan masyarakat Islam. Ketinggian akhlak, keluhuran budi dan kehalusan bicara yang perlu ditonjolkan.
Pemuda Pas perlu bergaul dengan masyarakat. Pemuda Pas tidak boleh duduk dalam kelompoknya sahaja. Saya mahu pimpinan Pemuda Pas memiliki ilmu Islam yang asas dan mempunyai kepelbagaian dalam disiplin ilmu. Ini sebagai persiapan masa depan. Budaya Jepun mungkin tidak boleh menjajah dunia tetapi intelektual dan harta intelek mereka dapat menguasai dunia. Ini yang perlu kita pelajari. Kita boleh bersama dengan masyarakat dan terjemahkan Islam dalam masyarakat. Saya berharap masyarakat Malaysia akan dapat terima kami suatu hari nanti. Insya-allah.

LAGI WAWANCARA EKSKLUSIF SALAHUDDIN AYUB KEPADA MINGGUAN MALAYSIA (27 MEI 2007)

Pemuda Pas bukan ‘pak turut’


MINGGUAN: Apa yang diharapkan oleh Pemuda Pas pada muktamar kali ini?

SALAHUDDIN: Sudah tentu kita meletakkan keutamaan kepada persiapan jentera Pemuda untuk menghadapi pilihan raya. Kita telah membuat persiapan awal supaya tidak terperangkap dengan perangkap masa. Kita telah mengadakan perhimpunan 15,000 Pemuda Disember lalu di Kota Bharu. Maknanya, kita ada 15,000 Pemuda berdaftar telah diisytiharkan sebagai petugas pilihan raya Pemuda di seluruh negara. Keduanya, harapan saya muktamar ini akan melahirkan beberapa gagasan baru dalam memastikan pencapaian Pemuda di persada politik tanah air. Tentu saya akan memastikan Pemuda akan terus relevan dan kehadiran kita dirasai bukan sekadar dalam kelompok Pas tetapi ‘‘merakyat’’ perjuangan Pas.

MINGGUAN: Saudara telah dua penggal memegang jawatan Ketua Pemuda Pas tetapi tidak banyak perubahan dapat dilihat. Malah ada pihak mendakwa suara Pemuda Pas semakin kurang menyengat di dalam mahupun di luar parti?

SALAHUDDIN: Kita tidak mempunyai ruang yang cukup di media arus perdana untuk menampilkan diri. Kalau media memberikan sedikit ruang, masyarakat akan melihat betapa pimpinan Pemuda bekerja setiap hari, masuk ke dalam masyarakat, memberikan komitmen yang tinggi di dalam dan di luar parti. Bagaimana kita mengadakan ‘engagement’ (hubungan), Pemuda Pas telah berjaya keluar dari wilayah sendiri dan mula masuk ke jabatan-jabatan kerajaan. Kita mengadakan kunjung hormat dan lawatan rasmi di kementerian-kementerian termasuk berdialog dengan para menteri dan ketua-ketua jabatan untuk membincangkan bukan sekadar masalah parti sendiri tetapi sumbangan, pandangan dan idea terhadap masalah nasional. Begitu juga dengan peranan Pemuda dalam parti, peranan kita sebagai orang muda. Kita telah berjaya untuk menampilkan pandangan kita bersesuaian dengan keperluan zaman hari ini. Peranan Pemuda sangat besar di atas menentukan pendekatan dan strategi parti. Saya telah dapat melihat bahawa orang muda diberikan tempat yang cukup penting di dalam parti.

MINGGUAN: Saudara menyebut tentang perlunya pandangan yang mengikut keperluan zaman. Adakah ini bermaksud kepimpinan parti sekarang masih terus mengekalkan ciri-ciri lama?

SALAHUDDIN: Pas yang ada perlu dipastikan bergerak pada zaman kita. Dan kalau boleh, kita akan memastikan parti dapat bergerak lebih pantas dan bersikap proaktif terhadap segala perkembangan yang berlaku di luar sana. Pas tidak boleh duduk sebagai penonton sahaja atau cuma bertindak balas terhadap isu-isu yang berlaku, tetapi juga mesti kelihatan di persada politik tanah air.

MINGGUAN: Adakah ini antara cabaran terbesar Pemuda?

SALAHUDDIN: Memang ini satu cabaran besar yang terpikul di bahu Pemuda. Dan saya bertanggungjawab untuk membawa mesej ini. Cabaran pada hari ini tidak memerlukan Pas hanya duduk dalam kelompok bangkangan, kita mesti duduk dalam kelompok arus perdana, sebagai penyumbang kepada penyelesaian masalah. Pemikiran ini yang saya cuba bawa. Dalam pendekatan ini, misi besar saya ada dua iaitu melatih pimpinan Pemuda menjadi pemimpin yang mempunyai sifat-sifat seorang negarawan. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada imej semata-mata. Kalau kita mempunyai cita-cita untuk memerintah negara, pimpinan Pemuda yang ada hari ini mesti meletakkan diri mereka sebagai pemimpin yang boleh diterima oleh masyarakat keseluruhannya. Sifat kenegarawan itu sangat penting. Yang kedua, saya telah meletakkan misi besar bahawa Pemuda Pas mesti bertindak sebagai duta penyelamat dan kasih sayang. Ini yang sedang kita buat sekarang – mendekati semua golongan – mak nyah, mat rempit dan remaja-remaja lain yang bermasalah.

MINGGUAN: Bagaimana penerimaan kepimpinan ulama dengan cara yang dibawa oleh Pemuda ini?

SALAHUDDIN: Pengalaman saya selama 25 tahun di dalam parti, saya tidak pernah ada masalah dengan kepimpinan ulama. Bagi saya Pemuda juga mesti bersikap terbuka. Kalau kita lantang mengkritik orang lain, Pemuda juga harus bersedia membuka dada untuk menerima pandangan. Bagi saya, ulama dalam Pas telah memainkan peranan penting. Saya tidak mahu mengulangi sejarah kesilapan era Datuk Asri di mana ulama tidak diberikan peranan penting. Kerana itu berlaku penyelewengan dan salah laku. Tetapi hari ini, Pas memiliki kepimpinan ulama dan Pemuda menjadi pendukung serta penggerak utama. Apa yang dipandang oleh ulama sebagai mungkin kesilapan akan ditegur dan ini dapat memastikan perjuangan Pemuda dan Pas sendiri sentiasa berada di atas landasan yang betul.

MINGGUAN: Pemuda tidak akan teragak-agak menegur pucuk pimpinan jika pandangan mereka ketinggalan?

SALAHUDDIN: Itu merupakan sifat yang mesti ada pada Pemuda. Saya diajar begitu dan saya akan meneruskan pendekatan ini. Tetapi berani dengan kemampuan dan kapasiti kita untuk mengatakan di mana silapnya dan objektif – berbekalkan ilmu pengetahuan. Apabila mengkritik orang lain, kita mesti memiliki ilmu pengetahuan supaya dapat memberikan pandangan alternatif. Saya amat tidak menggemari Pemuda yang hanya tahu mengkritik tetapi tidak mampu menanganinya.

MINGGUAN: Apakah halangan yang dilihat masih berlaku dan akan mengehadkan perjuangan parti?

SALAHUDDIN: Rasa selesa iaitu sikap kita merasakan cukup dengan apa yang ada hari ini. Ini bagi saya, musuh utama Pemuda. Sebab itu saya sangat menggalakkan apa yang dikatakan pendakian ilmu. Masyarakat hari ini bukan lagi yang hidup sebelum dan selepas merdeka. Masyarakat hari ini semakin bijak. Mereka boleh menilai apa yang kita cakap dan kita buat. Untuk menjadikan Pas parti relevan dan punya integriti, segala yang lahir dari mulut dan perbuatan kita mestilah berdasarkan kepada pengetahuan. Masyarakat hendak melihat Pas bukan hanya retorik, program-program yang bersifat konvensional sahaja. Mereka hendak melihat satu pembaharuan. Hambatan kedua ialah sikap tidak mahu bekerjasama dengan orang lain atau eksklusif.

MINGGUAN: Saudara cuba mengatakan era retorik di dalam Pas sudah berlalu?

SALAHUDDIN: Zaman ini adalah zaman yang orang mahu melihat kita bercakap secara objektif, dengan segala kewarasan pemikiran dan kita cuba untuk menghormati setiap pandangan orang. Kita tidak perlu mengatakan hanya kita yang betul tetapi kita juga perlu berdiskusi dan bermusyawarah bersama dengan orang lain.

MINGGUAN: Dalam ucapan pada Dewan Pemuda Kelantan, saudara mengingatkan ahli-ahli “jangan taksub melulu.” Adakah ini bermakna populariti tidak mencerminkan kepimpinan yang baik?

SALAHUDDIN: Dalam parti, kita diajar dengan konsep taat. Taat ini selagi mana pemimpin itu tidak melakukan penyelewengan dan kesalahan, kita mesti taat. Kalau pemimpin utama sekalipun melakukan kesalahan, kita mesti menegur mereka. Ini peranan Pemuda – berani untuk menegur. Saya tidak pernah diajar atau mengajar Pemuda untuk menjadi ‘yes man’, jadi ‘pak turut’ apa yang pemimpin kata, adalah betul belaka. Ini satu doktrin yang tidak betul.

MINGGUAN: Datuk Nik Aziz Nik Mat melahirkan harapan golongan ulama konservatif dan golongan profesional akan terus menerajui kepimpinan parti. Adakah ini bermaksud Pas akan kekal dengan bentuk kepimpinan yang ada sekarang atau mungkin turut berubah suatu masa nanti?

SALAHUDDIN: Saya ingin menjelaskan pelabelan ulama konservatif. Melalui pengalaman saya, hanya ada satu istilah sama ada ulama ‘‘haraki’’ atau profesional ‘‘haraki.’’ Maknanya yang faham dan memiliki fitrah jelas dalam perjuangan. Sama ada seseorang itu ulama atau bukan ulama, dianggap konservatif atau progresif, itu hanya pendekatan kerana kita perlu maklum ia berdasarkan latar pendidikan yang berbeza-beza. Ada di kalangan profesional konservatif dalam aspek pendekatannya. Pada saya, sama ada kita ulama atau profesional atau macam saya, aktivis parti, kita mesti ‘‘haraki.’’ Sama ada kita mahu menggunakan cara berlembut, konservatif atau agak liberal, itu bergantung kepada situasi, keadaan dan strategi yang diatur oleh parti.

MINGGUAN: Dalam zaman sekarang ini bentuk kepimpinan bagaimana yang dilihat sesuai?

SALAHUDDIN: Perlu ada adunan yang bijak. Ulama, profesional dan aktivis parti mesti terus bersama dengan parti. Cuba bayangkan Pas kalau semuanya ulama? Atau semuanya profesional dan aktivis parti? Tentu kita akan hilang panduan.

MINGGUAN: Mungkinkah pemilihan kali ini boleh dianggap sebagai era peralihan daripada kepimpinan ulama kepada kepimpinan profesional untuk menjadikan Pas lebih relevan di mata masyarakat?

SALAHUDDIN: Saya tidak nampak ini akan berlaku. Yang mungkin berlaku ialah perwakilan menuntut perubahan besar yang boleh dilakukan oleh gabungan kepimpinan ulama, profesional dan aktivis parti. Dan anjakan ini akan memastikan bahawa paradigma Pas mesti juga beranjak.

MINGGUAN: Bagaimana saudara melihat corak kepimpinan sekarang dan cabarannya di masa depan?

SALAHUDDIN: Kita seharusnya dapat membaca zaman, membaca setiap perubahan dalam menentukan sikap kita pada masa depan. Saya suka mengambil contoh bagaimana Iran maju hari ini. Saya melihat kepimpinan mereka jauh ke hadapan sehingga mampu bersaing. Hatta hari ini, Iran dapat berdepan dengan kuasa-kuasa besar dunia. Kemampuan mereka menggarap persoalan-persoalan agama dan ‘disemasakan’ dengan perkembangan zaman amat menakjubkan. Hari ini kuasa besar tidak berdepan dengan Iran kerana masalah Syiah atau mazhab tetapi isu nuklear, teknologi.

MINGGUAN: Apakah perubahan drastik yang harus berlaku di dalam Pas?

SALAHUDDIN: Pas mesti menawarkan perkhidmatan kepada negara. Kita harus dilihat sebagai Kabinet bayangan. Kalau Pas boleh tampil pada tahap ini, rakyat akan memberikan lebih keyakinan. Saya percaya setelah 15 tahun Pas memerintah Kelantan, rakyat tidak lagi boleh bertahan kalau kita hanya mendekati mereka dengan slogan ‘‘Membangun bersama Islam” semata-mata. Rakyat telah pun memberi mandat. Sekarang mereka mahu melihat apakah aplikasi slogan ‘‘Membangun bersama Islam” itu dalam kehidupan sosial dan pembentukan ekonomi. Ini yang saya lihat sedang mereka tunggu sekarang.

MINGGUAN: Secara jujurnya, adakah saudara melihat sudah sampai masanya Pas memerintah negara?

SALAHUDDIN: Kita membina keyakinan itu di hati rakyat. Tetapi untuk saya mengatakan kita telah sampai ke tahap itu, mungkin keterlaluan.

2 ulasan:

Aiman berkata...

suka baca jawapan dari Tuan Guru Nik Aziz, semua bagaikan mutiara kata

LeeZ berkata...

hmmm takde pun wawancara yang SELEPAS MAC 2008???!!!

Nak compare compare apple with apple, no oranges....

bodoh betul la kau...